Bubar DUN PERAK?

Thursday, May 21, 2009

Bubar DUN Perak: Penyelesaian atau Penyesalan?

Isu Perak semakin hangat kini, hingga menunggu keputusan Mahkamah atas rayuan yang dibuat oleh Dato’ Seri Ir Nizar sendiri, setelah penggantungan kembali haknya sebagai MB yang sah. Kini, rakyat Perak umpama bahan mainan parti-parti di Malaysia. Siapakah yang mempermainkan pilihan rakyat Perak? Mungkin, kita selaku rakyat, tidak mengerti apa yang berlaku sebenarnya. Namun, segalanya sudah pasti, dengan apa yang dizahirkan sendiri mereka, pihak-pihak yang punya kuasa.

Rakyat kini sudah muak, nasib dan maruah tidak terbela, sebaliknya pimpinan sibuk merebut kuasa. Siapakah yang berhak kini? Jawapannya pasti ada pada rakyat sendiri. Mereka punyai pandangan dan penilaian sendiri. Saya tidak berani untuk mengulas andai pilihanraya berlaku di Perak, apakah BN atau PR akan memerintah? Namun, andai benar DUN di bubar, rakyat akan menggunakan kuasa mereka:

1. Samada jemu dengan PR dan ingin beralih kepada BN, sejak pilihanraya umum yang lalu,:
2. Atau, tidak puas dan tidak sempat merasa sentuhan PR memerintah Perak, dan ingin melihat kembali Ir Nizar melambai tangan tersenyum ringan atas kemenangan.

Pendapat tokoh pimpinan mengenai pembubaran DUN:

Tuan Guru Nik Abdul Aziz, berpendapat DUN Perak perlu dibubar, atas alasan-alasan yang perlu. Melihat kepada senario yang tidak sudah-sudah masuk dan keluar mahkamah, siapa yang mahu memimpin rakyat dan melaksanakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam tempoh keluar masuk mahklamah tanpa penyudahannnya? Pelbagai konspirasi dan pencabulan undang-undang yang tidak sudah-sudah.

Tun Dr Mahathir pula, melihatkan tidak ada sebarang kewajaran kepada pembubaran DUN. Andai, Ir Nizar, masih sah sebagai MB, maka satu cara untuk menidakkannya, dengan membuat undi tidak percaya dalam sidang DUN. Inilah cara terbaik buat BN, dari rela menaruhkan nilai yang besar dalam pilihanraya. Kata-kata beliau, seakan menampakkan ketidakyakinan kepada BN sendiri untuk menang dalam pilihanraya nanti, kerana dia orang veteran, dan sudah Nampak gelodak-gelodak keruh yang bakal menenggelamkan BN nanti. Ya, beliau, tidak menaruh harapan yang besar buat BN dalam pilhanraya andai ianya diadakan! Masakan tidak, igauan kemenangan PR dalam beberapa kawasan dalam pilihanraya kecil seolah-olah memberi signal BN menempuh arus kesukaran kesan kebangkitan rakyat yang tidak dapat dibendung. Lihat saja Bukit Gantang, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan beberapa kawasan lain.

Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawancik:
“the political situation in Perak has reached a stage that required the people to choose again”,
Ya, memang inilah hakikat penyelesaian isu di Perak.Kembalikan kepercayaan rakyat yang selama ini hanya dipermainkan dan dibakulsampahkan.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah:
“pembubaran satu-satunya cara keluar dari krisis yang berlaku di Perak”.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia( SUHAKAM) Tan Sri Abu Talib Osman juga menggesa pembubaran DUN dan seterusnya pilihanraya bagi membolehkan rakyat memilih.

Bagaimana pendapat Perdana Menteri Malaysia? Beliau begitu sibuk dengan Perak dahulu, tapi sekarang sudah sibuk menunaikan misi “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”. Kita menunggu adakah hak rakyat di Perak didahulukan? Atau sebaliknya… Namun, isyarat dalam kenyataan beliau dalam pilihanraya di Penanti, seolah-olah sudah dapat dikenal pasti. Beliau juga tidak yakin untuk berdepan dengan pilihanraya. Ya, beliau juga tidak bersetuju untuk diadakan pilihanraya.Alasan budak dan dilihat tidak ada semangat untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, bagaimana nasib pengundi BN di Penanti, andai tidak meletakkan calon?

Maka, akhirnya, andai pilhanraya diadakan di Perak, adakan ianya adalah satu penyelesaian atau penyelesalan bagi BN dan PR sendiri?

GURUKU!

Selamat Hari GURU buatMU GURU-GURUKU.

Mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" buat semua guru-guru yang pernah mengajarkan saya hatta satu huruf. Budi kalian begitu berharga, dan nilaiannya hanya di sisi Allah. Jua tidak dilupa kepada Us Abdul Mokti dan Us Siti Robiah yang pernah menjadi guru rasmi saya satu ketika dulu, dan guru saya hingga kini.

Buat semua guru-guru, saya tidak mampu menulis nama kalian disini, cukup hanya doa itu mengamini.

Guru-guru rasmi saya yang telah mendidik hingga mengenal dunia dan akhirat, bermula dari tadika hingga ke universiti:

1. Taski ABIM Tapah.
2. SAR Ar-Rahmaniah, Tapah.
3. Sek. Toh Tan Dewa Sakti, Tapah.
4. Sek. Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar.
5. Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar.
6. Sek. Raja Perempuan Taayah, Ipoh.
7. Universiti Al-Azhar.

Redhailah dan berkatilah anak didikmu ini. Moga berjaya menjadi insan yang benar-benar mengenal TUHANNYA,RASULNYA dan AGAMANYA. Ameen...


Tambahan:
Teringat sekuntum bunga ros dan kad ucapan pada tarikh 16 Mei 2006, ketika saya membuka pintu bilik warden di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa Qiraaat Addin, Parit. Pagi itu, mereka ada periksa, namun sempat untuk menghargai jasa yang tak seberapa saya pada waktu itu.Amat bahagia sebenarnya. Kalian adalah penjaga kalam Allah, jagailah sebaiknya. Moga kita dapat bertemu nanti.

***

Namun, di sebalik girangnya wajah guru, kita tidak boleh melupai, beberapa wajah guru yang menanggung perit hasil biadab si anak murid. Sama-sama kita renungi:

Kes 1 : KANGAR:

Seorang guru di sebuah sekolah menengah, di sini, mendakwa diserang sekumpulan pelajar termasuk diterajang berkali-kali pada perut oleh salah seorang daripada mereka di dalam bilik darjah sekolah terbabit, di sini, pagi semalam. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas guru terbabit, Azahana Ibrahim, 27, menegur seorang pelajar perempuannya berhubung kelewatan menghantar tugasan diberikan, terutama kandungan kata-kata kesat 'Gila Babi' yang diconteng pada kerja kursus yang dihantar. Tidak cukup dengan insiden di dalam kelas itu, pelajar perempuan berusia 14 tahun itu yang dikatakan masih belum berpuas hati dengan teguran guru berkenaan, dikatakan memanggil beberapa lagi rakannya dari kelas lain untuk membalas dendam.

Kes 2 :

Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa berumur 12 tahun memukul guru sekolahnya yang berumur 26 tahun dengan penyodok apabila beliau dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah dan diminta untuk menyiapkan kerja sekolah sambil berdiri. Isu ini dikategorikan serius kerana bagaimana dalam peringkat umur yang begitu muda itu iaitu 12 tahun sudah berani melakukan tindakan ganas terhadap seorang guru.

Kes 3 :

Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecedaraan parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan. Beliau dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi- tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung.Kes 4 : Seorang guru perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat apabila guru tersebut menegur kesilapan pelajar perempuan tersebut. Akibat merasa sedih yang amat sangat apabila seorang guru diperlakukan seperti itu, guru itu membuat laporan polis.


Kesempatan saya terjumpa berita-berita ini di internet, cepat saya copy, buat kenangan, kenangan buat rakyat Malaysia yang lama saya tinggalkan. Berita dan kes-kes sebegini, sudah lama berlaku. Namun, kali ini, saya mahu abadikan di laman ini. Biar kita tahu, kerosakan akhlak yang semakin parah dan berdarah.Pertama membacanya, saya begitu terkejut.

Jika kita teliti, bagaimana adabnya pelajar dengan guru, insan yang mengajar dan mencurah ilmu. Pernah saya terdengar bagaimana ulama’-ulama’ terdahulu begitu menjaga adab mereka ketika belajar, dan yang paling saya kagumi bagaimana mereka tidak tidur andai kaki mereka menghadap ke a rah rumah guru-guru mereka. Belum dikira adab mereka seandainya duduk bersama guru-guru mereka. Namun, keadaan akhir zaman ini, begitu berbeza sekali.Bagaimanakan ilmu yang ingin disampaikan akan dapat difaham dan diamalkan andai baginilah yang berlaku.

Adakah anda boleh membayangkan murid semuda 12 tahun, berani memukul gurunya dengan penyodok kerana dimarahi gurunya disebabkan tidak menyiapkan kerja sekolah? Ini sudah melampau sebagai seorang murid yang masih muda.

Anda juga boleh melihat bagaimana pelajar perempuan begitu samseng memanggil rakan-rakan untuk membalas dendam kepada gurunya yang menegur kesalahannya yang lewat menghantar kerja kursus. Itu yang dilakukan oleh pelajar perempuan 14 tahun di Malaysia.

Banyak lagi kes-kes sebegini, malah lebih teruk. Terasa umpama jenayah di luar negara. Apabila kita teliti sebaiknya, setiap pihak hatta Kementerian Pendidikan Malaysia, sendiri pening mencari sebab berlakunya kes-kes sedemikian. Punca yang berlaku perlu di muhasabah dari segenap pihak. Bermula dari pimpinan yang memimpim, keluarga yang mendidik, guru yang mengajar dan masyarakat sekeliling yang mempengaruhi. Agak rumit untuk kita ulasi factor-faktor yang menjadi punca, namun secara tuntasnya, banyak kesilapan dan keculasan dan inilah hasilnya kepada acuan yang dibentuk. Pening-pening dengan masalah yang berlaku, rupanya ramai yang terlupa untuk menjadikan Islam itu sendiri sebagai sandaran dan rujukan. Jadi, jangan kita pelik andai pada awal acuannya sudah tidak betul. Usah banyak menunding jari mencari siapa yang bersalah. Cepatlah mencari penawarnya.


Tambahan:
Berita di atas, sudah lama berlaku di Malaysia. Cuma baru saya berkesempatan untuk publish.Tidak ada sebarang usaha untuk mengungkit, sekadar renungan bersama bagi yang belum mengetahui hakikat yang berlaku. Wallahu'alam.

Sidang DUN yang pelik

Sidang DUN Perak 7 Mei, mencabuli undang-undang?

Dan, kini kita boleh lihat, undang-undang yang tidak membenarkan, tetapi, andai ini dari Barisan Nasional, maka segalanya mampu. Masakan tidak, Sidang DUN 7 Mei yang lalu, membuktikan segalanya. Namun, mana mulut-mulut yang dulu lantang menyatakan kesalahan PR? Bagaimana siding DUN 7 Mei lalu, boleh dihadiri oleh pihak polis?, Bagaimana pula senjata yang dibawa masuk ke dalam sidang pada hari itu? Siapa yang mahu menjawab?

Profesor Dr Abdul Aziz Bari, sendiri menyatakan sidang pada 7 Mei lalu, tidak sah. Kuasa Speaker V.Sivakumar diketepikan, dan pelbagai arahan yang dikeluarkan oleh orang yang tidak berautoriti. Beliau menyifatkan ini merupakan kekecohan yang kedua berlaku selepas rampasan kuasa pada 5 Februauri lalu. Kerajaan Zambry, dilihat hanya bergantung kepada sultan dan pihak polis.

Seronok juga melihat, Ganesan, yang nak menjadikan kuasa speaker kepada 2 orang, seperti MB Perak. Dia nak jadi speaker, tapi, tidak petah bercakap, sehingga dibantu oleh Dato’ Hamidah Osman. Dia mungkin puas dapat merasa duduk di kerusi speaker. Banyak sudah pihak dan web, tidak kurang blogger hebat telah menzahirkan sidang yang tidak sah itu. Namun, kita tunggu dan lihat, apakah respon kerajaan pimpinan Najib nanti.

DEMOKRASI : Suara MAHASISWA/WI perlu didengar.


DEMOKRASI : Suara MAHASISWA/WI perlu didengar.

Jemu sudah kita membicarakan tentang AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Malangnya, akta ini terus hidup di IPTA walau telah banyak pihak menggesa pemansuhannya. Bagaimana mahu melahirkan pemuda-pemudi yang berjiwa demokrasi andai penyekatan ini berlarutan dengan adanya AUKU ini. Tahniah kepada BERSATU( Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak) yang sekali lagi mendesak pemansuhan akta ini, bukan sekadar meminda tak sudah. Itulah yang dibawakan sendiri oleh Presiden BERSATU, Saudara Mohd Hafez Sabri bagi menjamin, hak kebebasan mahasiswa bagi memilih mana-mana parti politik dan kebebasan bersuara mereka.

***




Menurut Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU), Saudara Mohd Hafez Sabri beliau menyatakan bahawa AUKU perlu dimansuhkan dan tidak hanya sekadar dipinda semata-mata.“AUKU ialah akta yang banyak mencengkam hak asasi mahasiswa dan perlu dimansuhkan terus daripada sekadar dipinda,” ujar beliau.“Amat pelik jika AUKU ini tidak dimansuhkan kerana warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas, bebas untuk menganggotai parti politik sedangkan mahasiswa terus dikongkong untuk menyertai parti politik sama dengan rakan-rakan sebaya lain di luar Universiti,” tambah beliau.


Sementara itu, Timbalan Presiden 2 badan mahasiswa itu, Saudara Wong Yim Chan menyatakan bahawa akta yang dikatakan membelenggu kebebasan mahasiswa tersebut tidak pernah wujud di negara-negara Eropah dan Barat yang memiliki kedudukan tertinggi antara universiti-universiti di dunia.“Mengapakah Malaysia terus bertegas menggunakan AUKU sedangkan Universiti kita terus terperosok di tempat tercorot dalam rangking (kedudukan) universiti dunia dan Asia.“AUKU jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam soal kebebasan bercakap, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun itu sendiri”, katanya


Beliau turut menyentuh tentang istilah mahasiswa yang perlu ditukar kepada pengunaan pelajar yang berleluasa di kampus sekarang.“Amat pelik jika AUKU ini tidak dimansuhkan kerana warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas, bebas untuk menganggotai parti politik sedangkan mahasiswa terus dikongkong untuk menyertai parti politik sama dengan rakan-rakan sebaya lain di luar Universiti,” tambah beliau.Sehubungan itu kami diperingkat Mahasiswa Perak meggesa agar seluruh mahasiswa meneruskan agenda perubahan dalam membina generasi kita di masa hadapan, Mahasiswa tidak perlu takut dengan ugutan dan ancaman-ancaman yang dikenakan oleh kerajaan, jika kita melakukan perkara yang baik dan benar, maka tidak ada sebab untuk kita takut, kita generasi muda harapan rakyat membawa perubahan kearah Malaysia baru.

***


Saya masih teringat satu dokumentari dari Indonesia, bagaimana mereka begitu mengutuk system demokrasi di Malaysia, terutama mahasiswa yang dipegang erat tengkuk mereka daripada membuat sebarang tindakan yang dikira melanggari undang-undang AUKU. Jelas, mereka membezakan demokrasi Malaysia dan Indonesia, dan satu perbezaan ketara yang dapat dilihat dengan jelas. Mereka begitu berbangga dengan system demokrasi di Negara mereka, berbanding Malaysia. Mahaisawa bebas menyuarakan hak dan pendapat dan ketidakpuasan hati mereka. Kita tidak mungkin lupa beberapa pimpinan mereka digulingkan oleh rakyat sendiri. Inilah demokrasi bebas yang sepatutnya ada di Malaysia. Saya rasa malu melihat kutukan yang dibuat dalam dokumentari tersebut. Demokrasi yang semakin basi?....

Ujian: TarbiahNya


Ujian buat Perak, di Malaysia dan di Mesir.

1. Situasi Malaysia:


Kita maklumi sudah segala kronologi politik kotor yang berlaku di Perak.Hingga ke saat saya menulis bahan ini, mahkamah masih belum membuat keputusan, dan maklumi sudah, keputusannya pada Jumaat ini. Dulu, pernah saya menulis, meminta sabar kepada Dato’ Zambry (yang tak mahu naik Camry) agar bersabar atas keputusan mahkamah meletakkan MB Nizar MB Perak yang sah. Saya masih memberi harapan kepadanya untuk masa akan datang.Namun, belum sempat MB Nizar bertugas kembali, tidak sampai beberapa waktu, beliau membuat rayuan kembali kepada mahkamah. Kini, saya tidak ingin sekali-kali merasakan dia layak untuk menjadi MB jika, inilah yang dibuat olehnya. Kepercayaan saya hilang terus. Nampaknya beliau masih tidak berpuas hati. Jika betul-betul ingin mendapatkan kepercayaan rakyat kepadanya, “bertemulah di gelanggang pilihnraya”. Pernah, satu petang kami bersembang sesama ahli bait mengenai isu Perak, seorang teman berseloroh, “ kalau dua-dua nak jadi MB sangat, kita buat dutyla kat deme. Seorang duty harini, seorang duty esok, senang sikit”. Kami semua ketawa.

2. Situasi di Mesir:


Ujian di Malaysia, begitulah coraknya. Kami anak-anak Perak di Mesir, pula diuji dengan cara lain. Walau ujian ini begitu kecil nilainya berbanding yang diterima oleh orang lain.Usah dikenang usaha-usaha untuk mendapatkan rumah Perak Baru, atau untuk meng’islah’ rumah Perak. Kini, penantian bakal berakhir, apabila Wisma Darul Ridzuan sudah tampan, segak bergaya di lorong 31 Hafeez Badawi Street. Dengarnya, ramai akhawat yang dah mula jatuh hati pada rumah yang diislah, berbanding rumah Baru nanti, itu tidak mengapa, yang pasti penantian ini bakal berakhir tidak lama lagi.

Apa cerita yang ingin saya coretkan, bagaimana ujian yang ditempuh oleh ahli KPIPM, yang menetap di rumah Perak Sementara. Bermula dari awal masuk, sedia maklum akan berkampung dalam kapasiti 15 orang satu syaqah.Pada awalnya, kami terpaksa berhimpit hampir 30 orang dalam satu syaqah, sementara menunggu satu syaqah lagi utuk siap. Bayangkan, dengan dapur yang hanya ada satu pada mulanya, digunakan untuk memasak seramai 30 orang dalam masa 2 minggu.Detik itu, kami terpaksa menumpang di imarah yang dulunya sebuah hospital, memang banyak lopak dan compang-camping pada bangunan itu. Saat ambang imtihan fasa satu, ujian Allah untuk kami, pelbagai gangguan makhlus halus, maklum dengan bangunan yang ditinggalkan. Saya sendiri terasa malas untuk study yang amat sangat, dan itu antara gangguan yang tanpa kita sedari.

Untuk fasa kedua ini, kami ditemani oleh ammu-ammu yang sedang mengislah bangunan yang sedang kami diami. Pada mulanya, siapa yang bertahan untuk terpaksa menjaga aurat sepanjang masa, dengan ammu keluar masuk syaqah untuk mengislah bilik air yang rosak katanya.Belum dikira bunyi bising ketukan yang agak mengganggu tumpuan untuk study. Dan, andai orang dari negeri lain bertandang, jangan terkejut, tangga kami dipenuhi mangkuk tandas dan besi-besi lain. Paling memeritkan bila air tiada, dan terpaksalah berduyun-duyun pergi ke rumah BKAN lain untuk mengambil wuduk dan air simpanan. Sampai, untung juga KLCC waktu tu, dapat tempahan nasi berlauk untuk sejumlah yang ramai. Bukan kita tidak tahu, cara orang Arab berkerja, habis rumah dipakainya kasut, hisap rokok, masuk sesuka hati, Ya Allah! Namun, inilah hikmah ujian yang kecil.

Sesekali, tazkirah selepas maghrib, mengingatkan kita selaku hamba sewajibnya redha dengan ketentuan ALLAH. Bila dibacakan firmanNya, besarnya kasihNya buat hamba yang SABAR dengan ujian. Ada teman-teman berseloroh, ammu ni nak teman kita study. Ya, masakan tidak, dari awal imtihan bermula dan khabarnya,dalam waktu imtihan hampir berakhir baru selesai kerja-kerja pembaikan.

Pesan saya buat diri ini dan teman-teman, banyakkan bersabar dengan ujian sedikit ini. Kita sebenarnya malu untuk mengeluh dengan ujian sedikit ini, berbanding ujian yang lain jauh lebih HEBAT.Kita sebenarnya beruntung kerana masih punya peringatanNya dalam setiap ujian yang tiba. Itulah HEBAT DAN AGUNGNYA kasih Allah. Mudah-mudahan, kita dapat menempuh ujian di azhar dengan baik, dan turut najah dalam setiap ujian yang kita perolehi.


Tambahan:
1. Ujian di Azhar, semua orang nak najah kan, jangan lupa doa untuk minta turut najah dalam setiap ujian dalam hidup.
2. Maaf andai kesalahan dalam tulisan ini, sekadar berkongsi rasa.
3. Terima kasih kepada musyrif-musyrif tetap, yang tidak jemu mencurahkan bakti, walau memakan masa untuk study, Moga Allah membalasi.

Isu MB Perak

2 Menteri Besar dalam satu negeri : Tanaqud Qat’ie yang berlaku di Malaysia?

Selaku rakyat jati negeri tercinta Perak Darul Ridzuan, inilah detik dan saat yang begitu melucukan, dan menggelikan hati. Bagi orang Islam, ketauhidan kita kepada Tuhan Semesta Alam, tidak dapat dibelahbagi. Mengimani sesungguhnya Pentadbir Alam ini, didasari dengan dalil-dalil Al-Quran, merupakan satu kewajipan yang pasti. Tentu sekali mustahil alam satu ini ditadbir oleh 2 tuhan, yang saling berebut-rebut untuk mengatur mengikut acuan masing-masing(wahua muhhal).

Nah, bagaimana pula dengan satu negeri ini? Perak yang seakan kilauan emas yang bersinar-sinar sejak kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum yang lalu, mengangkat seorang jurutera dari PAS, Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah. Negeri Perak yang sebelum ini, ditadbir oleh Barisan Nasional sendiri, tidak pernah dilanda garuda todak yang melampau, setiap kali berakhirnya pilihanraya umum. Ya, rakyat Perak memlilih calon pimpinan mengikut kehendak mereka, jika sebelum ini, mereka memberi mandat kepada kompenan parti yang paling memberikan ‘jasa’ kepada pembangunan negeri tersebut, maka untuk kali ini sahaja, apabila pilihan mereka adalah Pakatan Rakyat, segalanya seolah-olah tidak meredhai keputusan dan kehendak itu.

Pilihan Rakyat Perak ‘dibakulsampahkan’?

Inilah kenyataannya! Benarkan pilihan rakyat ‘dibakulsampahkan’? Jawapannya cukup jelas sekarang. Kita sudah lihat bagaiamana setiap episod-episod yang berlaku di Perak. Bagaimana seawal kenaikan Pakatan Rakyat di Perak, hak mereka seakan dicabul! Buktinya cukup banyak. Saya melihat, anda melihat dan rakyat melihat. Penguasaan media eletronik dan cetak digunakan sepuasnya. Pelbagai gambaran buruk yang ditonjolkan media kepada Pakatan Rakyat yang mentadbir di Perak. Konon, pada awalnya, Pakatan Rakyat tidak sebulu, sering bergaduh dan tidak dapat berkerjasama. Lucu bukan?, adakah perselisihan pendapat, dikira tidak dapat berkerjasama, atau tidak relevan untuk mentadbir sebuah negeri? Adakah Islam tidak meraikan khilaf dan ikhtilaf ulama’?

Sejak itu, media lebih berminat untuk meninjau-ninjau Pakatan Rakyat di Perak, dan mencari sebanyak mana berita yang boleh dimuatkan bagi menjelaskan “kekalutan, ketiadak aturan, kekurangan, dan segala istilah” yang mengatakan Pakatan Rakyat tidak pernah layak untuk mentadbir Perak. Bagaimana dengan pilihan rakyat ini? Hanya dibakulsampahkan sahaja? Apa guna pilihanraya, yang konon memberikan mandat seluasnya kepada rakyat? Tetapi, belum cukup setahun, pelbagai konspirasi yang dibuat. Bagaimana hak rakyat yang memilih pimpinan mereka? Kenapa semua ini berlaku bila PR menang, mengapa tidak berlaku di negeri-negeri yang dimenangi oleh BN sendiri?


Tambahan:
Banyaknya soalan saya, siapa nak jawab ni?

Alhamdulillah, Perak dan MB Nizar

Monday, May 11, 2009


News from : Malaysiakini
Nizar menteri besar sah Perak
May 11, 09 3:45pm
kemaskini 4.45pm


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.


Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.


Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:


(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;

(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan

(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.


"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.


"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu. Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.


Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.



Tambahan:

1. Alhamdulillah, mabruk buat MB NIzar
2. Buat Dato' Zambry, banyakkan sabar, ada peluang tahun akan datang.
3. Cukuplah permainan rampasan kuasa ini, mangsanya rakyat juga.
4. Tak sabar nak sambut MB Nizar datang Mesir, lawat kami anak-anak Perak, dan wisma Darus Ridzuan yang menanti untuk dirasmikan.

Hari Ibu Bapa


"Ya Allah, selamatkanlah aku, ibu bapaku, keluargaku, sanak saudaraku, sahabat-sahabatku, dan seluruh umat Islam dari bencana azabMu yang amat keras..." Amin..
Hari-hari adalah hari yang istimewa anugerah Allah pada hambaNya. Saya turut terasa dan agak kecewa dengan keculasan menghargai dan menikmati hari-hari yang diberikan. Moga hari-hari yang dilalui memberi manfaat dan satu keampunan dari Al-Ghaffar kepada kita. Menghargai hari-hari dengan melaksanakan sebaiknya tugas si hamba sebagai khalifah di muka bumi ini. Tidak kira apa jua posisi, kita seharusnya menjadikan Islam sebagai satu asasi utama dan terpenting. Memandangkan senario dunia, agama sering dipisahkan dari kehidupan seharian. Adakah Islam untuk Ustaz, Ustazah, Tok Guru, Masjid dan majlis keramaian Islam sahaja? Tukang sapu sampah, engineer, doktor, pegawai bank, dan sebagainya tidak layakkah atau tidak dipertanggungjawabkan untuk Islam itu sendiri?
Untuk Hari Ibu~
Selamat berbahagia dengan kasihNya, kerana saya tidak mampu memberikan kasih sayang Sehebat dan Seagung kasihNya, moga kalian sejahtera dalam pimpinanNya..ameen"
Tambahan:
1. Rindu pada mereka, akan saya ubat pada sekeping doa setiap hari.
2. Rindu pada mereka, membuatkan kita lebih mengagungkan Ilahi atas kurniaan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...