Ahlan Ya Ramadhan, doakan kami!

Wednesday, July 20, 2011



Bismillah Wal Hamdulillah

Mahu menafi, sudah tersurat,
Mahu bersama lagi, sabarlah hati,
Mahu bertemu cinta, panjatkan pada Ilahi,
Mahu Ramadhan yang suci, doalah umur yang kan diberkati..


Tinggal beberapa hari lagi, kita akan bertemu Ramadhan. Ahlan ya Ramadhan! Mudah-mudahan kita diberi kesempatan bernafas untuk menunaikan rukun Islam yang suci ini dengan sempurna. Ameen.

Jadikanlah bulan ini, bulan meningkatkan cinta kepadaNya, bulan yang menambah modal-modal saham di akhirat, bulan yang menjadi saksi atas gerak kerja membantu Islam.

Jika diberi kesempatan dan peluang olehNya, saya dan suami akan berpuasa dalam 3 hari di Mekah. Doakan kami selamat pergi dan pulang menunaikan ibadah umrah. Kami akan bertolak pada 20 Julai (hari ini) dan akan kembali pada 3 Ogos. Mudahan kesempatan yang diberikan Allah, menambahkah keberkatan hidup, dilimpahi rezeki yang baik-baik, dimudahkan urusan dan diberikan kemenangan buat ummah ini, ameen..

Oleh:
Hurriyyah Abdul Mokti,
Suri di Bait As-Shahriyyah

Kebajikan apakah yang ditegakkan?




Bismillah Wal Hamdulillah

Usai pulang dari Dataran Hayyu 'Asyir sebentar tadi, saya mencuri masa menulis sedikit di laman ini. Dunia terus menyaksikan pelbagai kerosakan dan kezaliman yang dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak pernah rasa takut akan janji Tuhan. Bila melihat isu-isu yang melanda mahasiswa di bumi Mesir ini, hati ini semakin membarah kebencian dan kegeraman kepada yang melakukan kezaliman tersebut.

Saya memohon maaf, dengan sedikit kekasaran yang ada dalam posting ini. Namun, saya ingin bertanya, apakah bentuk kebajikan yang diberikan oleh pihak berwajib EM? Apakah bentuk tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak Kedutaan bagi menangani perhimpunan BERSIH? Adakah dengan cara kotor, menggunakan kuasa sesuka hati. Jika inilah laporan yang diluahkan sendiri oleh mereka yang dizalimi, maka tampillah secara jujur memberikan penjelasan, bukan sekadar alasan kesibukan!


Apakah maknanya tidak membenarkan berpolitik jika kelab salah satu politik tumbuh melata di beberapa cawangan di luar negara? Apakah alasan tidak boleh berpolitik bagi mahasiswa, sedangkan Islam itu sendiri mengajar kita berpolitik. Cuma pastikan politik mengikut cara Islam, bukan sekadar menjuzuk-juzukkan ajaran Islam mengikut kehendak nafsu.

Adakah mereka yang melarang berpolitik, mahu membina pimpinan negara yang lesu, tidak menguasai isu, hanya tahu belajar, hanya mahu memikirkan diri sendiri, hanya mahu menjaga periuk nasi sendiri, hanya mahu ,mencari kesenangan diri sendiri dan mereka yang hanya bodoh mendungu menggadaikan agama, maruah dan jatidiri demi kebendaan dan dunia yang sudah nazak!...

Diancaman dan diugut

Mahasiswa Mesir sering diugut dengan ancaman penarikan zakat dan penggantungan biasiswa atau tajaan. Pantang jika ada yang lantang, pasti akan diugut. Apakah sebegini jijik tindakan yang diambil oleh mereka yang melaungkan mahu memberikan kebajikan pelajaran dan pendidikan? Zakat bukan bahan mainan yang boleh dikawal sesuka hati. Ia adalah amanah yang wajib diberikan kepada yang berhak tanpa mengira status politik ataupun sebagainya.

Disoal siasat

Urusan pengkuliahan di EM, sudah menjadi urusan soal siasat. Malah, terdapat segelintir yang berurusan diperlekehkan, dikecam dan pelbagai lagi. Saya tidak pasti, sama ada piagam pelanggan direalisasi atau sekadar menggaburi. Saya masih boleh menerima andai pihak-pihak terbabit memberi nasihat belajar bersungguh-sungguh, namun saya tidak boleh menerima andai mereka mengecam, mengugut dan menyoalsiasat, seolah-olah yang berurusan adalah pesalah yang perlu dipenjara!

Dihalau tempat tinggal

Ini sudah lama berlaku, sejarah membuktikan bagaimana nasib-nasib anak-anak Selangor yang dihalau dari Asrama mereka. Kini, beberapa penghuni ARMA, menerima nasib yang sama. Mereka dihalau dengan alasan menghadiri perhimpunan BERSIH. Pihak terbabit hilang rasa malu. Mereka buta sejarah, menumpang tuah tanah milik PMRAM, menghalau PMRAM dari pejabatnya, kini mahu menghalau penghuni-penghuni yang tidak bersalah.

Dibuang Kursus/ Universiti

Antara kes yang terbesar, berlaku kepada Saudara Mohd Firdaus, yang menerima panggilan telefon daripada doktor kuliahnya, di Darul Ifta' Misriyyah. Bahawa beliau telah dibuang daripada universiti atas alasan ada masalah dengan kedutaan Malaysia di Mesir. Kemungkinan besar adalah disebabkan beliau adalah penganjur kepada Bersih 2.0 Mesir baru-baru ini. Wah, ini satu tindakan yang melampau yang telah diambil oleh pihak yang terbabit. Tindakan yang baru dicuba bagi menghalang keterbukaan dan kebebasan bersuara di Mesir.

Disenaraihitamkan nama

Ini satu lagi cara yang cukup jelik. Dengan alasan yang direka, pihak terbabit sesuka hati menyenaraihitamkan nama-nama mahasiswa. Saya juga pernah disenaraihitamkan kerana kononnya terlibat dengan gerakan bawah tanah, hingga pegawai polis dari Bukit Aman bertandang ke rumah untuk mencari saya. Atas dasar terlibat dengan politik kononnya, mahu melawan kerajaan. Sayangnya, alasan itu hanya dibuat-buat. Kini, sekitar 40 orang mahasiswa Perak juga telah disenaraihitamkan. Mengapa ya, tiada nama-nama pelajar yang terlibat secara terang dan jelas dengan Kelab UMNO, tidak disertakan? Jika memang alasan politik mahu digunakan. Saya masih tidak faham, mengapa Kelab ini bebas bergerak tanpa sebarang halangan. Namun, bila ada gerakan-gerakan menyuarakan hak, sering dikecam, difitnah dan sebagainya.

BERSIH di negara lain

Ini satu kemusykilan besar yang berlegar di benak saya. Saya melihat video-video demo BERSIH di Australia, UK, Rom, Britain dan lain-lain. Wah, amat dasyat lagi berbanding BERSIH di Mesir. BERSIH 2.0 di Mesir cukup sopan, tiada sebarang provokasi mengikut laporan yang didengari(walaupun saya tidak menyertainya). Di negara lain, lagi hebat mereka mengutuk kerajaan, antara ayat mereka " Shame of you, Najib" dan pelbagai ayat-ayat kasar. Namun, tiada sebarang berita dan perkhabaran tentang tindakan terhadap mereka. Jika dibandingkan, Mesir menjadi rekod pertama pelajarnya dibuang universiti kerana menyertai BERSIH. Adakah sebegini rupa layanan terhadap kami yang belajar agama? Sungguh memalukan dan mengaibkan perbuatan tersebut.

Kesimpulan

Kezaliman akan terus berada di muka bumi ini. Bagi yang berlaku zalim, bertaubatlah dan kembalilah kepada Allah. Atau teruskanlah kezaliman dan tunggu sahaja balasan Allah, jika itu yang ditunggu-tunggu. Bagi yang dizalimi, pertahankan hak kita. Kita Ummat Nabi Muhammad SAW, punya identiti, punya imej 'Syabab' Islam yang unggul dan berani.


Sisipan

Sentiasa memohon Allah pelihara dan menjaga kita.

Oleh:
Hurriyyah Abdul Mokti
Suri di Bait As-Shahriyyah

BILA INI TERJADI

Monday, July 18, 2011


Bismillah Wal Hamdulillah...

-BILA INI TERJADI-

1. Bila ego menguasai diri

Apa yang ada pada orang lain? Siapa mereka untuk diikuti dan didengari kata-katanya? Kenapa harus meminta dan merayu pada yang lain? Ahh, terlalu aib mahu memandang yang lain, mahu meminta nasihat.. Aku punya kuasa, punya pengaruh, punya ilmu yang banyak(kononnya), punya kekayaan, punya segalanya!... Lupa, hidup perlu kepada yang lain, saling melengkapi.


2. Bila Ilmu dibangga, bukan diamal

Aku hebat, belajar di tempat-tempat bagus, punya guru yang hebat, punya pengalaman yang banyak, punya penuntut ilmu yang banyak untuk bekejar menadah ilmuku (kononnya), Ya, akulah tuan guru yang hebat, dia ni hanya ustaz, dia tu tak mengaji mana pun. Huhh, berbangga dengan penuh ujub, padahal amalan dari ilmu yang kononnya banyak itu, sekadar di pinggiran.


3. Bila Kuasa disalahguna

Semua yang tidak sama haluan, akan dipinggirkan. Yang tidak bersalah dihukum, ya, kerana tidak mendengar kata dan telunjuknya. Kuasa baginya adalah segalanya, dengan kuasa dia bermewah, dengan kuasa dia bermegah, dengan kuasa, dia boleh melakukan apa sahaja. Hingga terlupa amanah pada jawatan yang dikurniakanNya, akan dihisab, dihitung di hadapan Al-Malik kelak.


4. Bila berhimpun untuk kebenaran


Yang mengaku bijak pandai sibuk mencari fatwa, mencari dalil, ini bukan jalan terbaik. Kita punya cara yang lebih ahsan. Semua bijak pandai yang tak pernah kelihatan, tiba-tiba ramai menonjolkan diri. Meluahkan rasa dan menarik perhatian bukan dengan cara berhimpun. Padahal, segala macam cara yang ahsan itu sudah dibuat.Namun, kezaliman dan penipuan terus bermaharajalela. Rupanya, ramai golongan agamawan yang hebat, cuma untuk isu-isu sebegini baru kelihatan.


5. Bila berhimpun untuk keseronokan

Remaja berhimpun untuk berpesta, segala macam konsert yang terang-terang merosakkan akhlak bebas beracara. Ya, kami remaja punya perasaan, mahu meluahkan rasa, menghilangkan tekanan. Yang bijak pandai tidak pula sibuk berfatwa, menyatakan dalil yang benar. Masing-masing diam membisu. Kalau benar ada cara yang ahsan, mengapa tidak digunak untuk membanteras segala kerosakan?


Sisipan :


Mohon Allah pelihara dari golongan-golongan yang tersimpang dari jalanNya, ameen.


Oleh:

Hurriyyah Abdul Mokti

Suri di Bait As-Shahriyyah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...