Dunia semakin Tua..

Sunday, May 11, 2008

Dari: HarakahDaily

Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal

H Fansuri Mon Apr 28, 08 10:46:00 am MYT

Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru ini.

Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.

Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean, Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang terjejas adalah berhampiran kutub.

Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!

Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang, kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.

Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang digelar sebagai gunung.
Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan kedaulatan kerajaan lama.


Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka kita. Demikianlah proses kehidupan.
Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera, disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera atau makanan yang disembur racun buatan manusia.


Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah. Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan penghidupan.
Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj


Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.
Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.


Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.
Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!


Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.
"Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.


Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.

Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah." Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.
Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?


Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!
Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!


Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."
Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3 kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.


Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.

Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.
Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini.


Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)
Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.


Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

'Rawatan alternatif' kepada dunia?

Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.
Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.


Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.
Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.
Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.


Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.
Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.
Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.
Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.


Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.
Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.


Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.
Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.


Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.
Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung.

Dari pena saya : Dunia semakin tua, bermakna, akhirat semakin hampir! Amalan kita bagaimana?...Muhasabah bersama..

Isu Makanan : Malaysia pun ala Mesir?


Dengan Nama Allah, yang menciptakan pena...


Melihat situasi Mesir, keadaan semakin sesak. Pasti, kala ini, belanjawan yang terbaik dibuat oleh setiap rakyat Mesir, termasuklah pelajar-pelajar Malaysia. Masakan tidak, kenaikan harga barang yang mendadak, sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan penduduk bumi penuh bersejarah ini. Apapun jua ujian yang mendatang, pasti ini merupakan satu tarbiah rohani dari ilahi buat hambaNya.


Usai menelefon keluarga, bonda turut membawa berita yang sama dengan keadaan Malaysia. Kenaikan harga makanan terus meningkat secara mendadak. Ekonomi menjadi tidak stabil.... Saya pasti, setiap rakyat merasai bebanannya. Namun, saya tidak dapat membayangi keadaan golongan miskin, yang hidup sudah dalam kesusahan, ujian datang bertimpa pula...Didoakan moga tabah...Bimbang, teringatkan kalam Nabi SAW, "kadang-kadanng kefakiran boleh membawa kekufuran.." Sebolehnya, biarlah kita menjadi golongan yang mampu memberikan sumbangan andai harta berlipat ganda, bimbang menjadi seperti si Qarun, angkuh bila harta melimpahi hidupnya..cabaran pula buat yang si kaya..


Apapun, setiap yang berlaku, kembalilah pada Yang Esa...

Pasti ada hadiah yang kita tidak ketahui di sebalik ujian yang menimpa..Mari kita renung kalam firman suci Ilahi dalam al-Furqan:


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."


Indah kalam ilahi, mengajar hambaNya supaya bersabar dan bertenang dalam menghadapi segala musibah dan ujian...Didiklah jiwa kita untuk melafazkan kalam ini, bila ujian menimpa..


Al-Baqarah- ayat 156:"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".


Apakah tarbiyah di sebalik segala ujian? Mungkin kita tertanya... Sungguh banyak pengajaran yang kita boleh singkap dari firman Allah ini :


"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."(surah al-hadid ayat 23)


Justeru, moga kita bersabar dengan segala ujian yang datang menimpa. Ujian merupakan satu nikmat bagi meningati al-Khaliq...Jadikanlah tawakkal kepada Allah sebagai sandaran utama, disamping usaha untuk terus meneruskan hidup yang penuh dengan onak dan liku ini..


Dari Pena Saya: Moga saya jua turut tabah dalam menghadapi ujian...Ameen Ya Rabb!..

Macam-macam Malaysiaku..

Saturday, May 10, 2008

Macam-macam Malaysiaku..

Kenyataan dibawah saya kira, saya tak mahu ulas, terasa bukan ahlinya, namun saya biarkan anda menilai sendiri.


'Keputusan isytihar keluar Islam tepat'

Berita Harian, 10 Mei 2008

KUALA LUMPUR:

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan keputusan yang diambil Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam adalah tepat. Beliau berkata begitu berikutan tiada peruntukan hukum murtad dalam konteks Malaysia (penguatkuasaan menyeluruh), tetapi pada masa sama menegaskan keadaan itu tidak menggalakkan murtad oleh mana-mana pihak. “Saya puji tindakan peguam Ahmad Jailani Abd Ghani dan Hakim Syarie Perlis, Othman Ibrahim kerana berani mengendalikan kes sebegini yang pertama kali seumpamanya di Malaysia.


“Akidah Fatimah atau nama sebenarnya Tan Ean Huang, 39, yang tidak mengamalkan ajaran Islam sejak awal lagi sudah murtad, walaupun sebelum mendapat pengiktirafan mahkamah,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam. Kelmarin, Hakim Othman memerintahkan supaya Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) membatalkan sijil pendaftaran memeluk Islam wanita itu dan memutuskan plaintif bukan lagi seorang Islam menurut Seksyen 61(3)b(x) Enakmen Aturcara Mal Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata, rakyat perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang membenarkan permohonan Fatimah mengisytiharkan dirinya bukan seorang Islam selepas tidak mengamalkan ajarannya sejak memeluk Islam pada 1999.


***
Dari Pena saya : Macam-macam Malaysiaku, yang nak murtad, yang dah murtad, yang dah dibenarkan isytihar murtad...Mana pergi tanggungjawab kita, sensitiviti kita? Dunia semakin tua....mari pakat tingkat amal...Jom!!!

Isu Tudung : Malaysia ala Turki

Isu Tudung : Malaysia ala Turki


Saya agak terkejut sebenarnya membaca berita ini. Sungguh, saya memang tidak tahu sebenarnya larangan pemakaian tudung turut ada di negara Malaysia ala Islam Hadhari. Hampir terkejut, namun inilah kenyataannnya! Anda boleh membaca sendiri dan lihat saja susunan ayat berita ini, jelas menunjukkan Malaysia bukanlah sebuah negara yang demokrasi dan Islam Hadhari seperti yang diomong-omongkan. Maaf, bahasa yang agak kasar, namun hati saya tidak puas melihat situasi dan suasana begini. Mari kita baca sikit :


Harian Metro, Jumaat, 9 Mei 2008.


Malah, biarpun penampilan barunya itu ditonjolkan kepada penonton bermula 18 April lalu, wanita jelita ini nyata amat puas.Apa tidaknya, selepas tiga tahun dia memendam hasrat murni itu, akhirnya termakbul juga.Kini, penonton saluran RTM1 yang menonton Dunia Hari Ini jam 11 malam dan Warta 1.30 Pagi setiap hari tentunya terpegun dan bertanya sebab perubahan itu.Malah, mungkin juga ada yang menganggap perubahan drastik anak kelahiran Pontian, Johor ini sekadar sementara, suka-suka atau mengikut gaya semasa.


Namun, Hamidah atau mesra dengan panggilan Mid mempunyai alasan kukuh mengenai penampilan barunya.Kata Hamidah, dia bertudung dengan niat menutup aurat kerana Allah dan bukanlah mengikut peredaran zaman ataupun mengejar publisiti.


Ini bukti jelas apa yang mahu saya 'highlight'kan :


Akui wanita berpengalaman luas ini, sekarang dia juga menjadi pelopor penyampai berita wanita bertudung ‘pertama’ di RTM.


“Sebaik mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Penerangan memberi kelulusan penyampai berita wanita di RTM kini boleh tampil bertudung, sayalah individu paling gembira.


“Selepas sekian lama perkara ini disuarakan, baru sekarang ia dibenarkan untuk dilaksana.


Baca lagi, ada syarat nak pakai tudung :


Saya bertuah kerana dapat juga tampil bertudung. Namun, bukan mudah mendapatkan gaya tudung yang sesuai seperti ini untuk digayakan. Ia berikutan, kira-kira 20 gambar gaya ikat tudung pelbagai cara dihantar untuk dinilai dalam mesyuarat itu.


“Ini kerana mengikut antara syarat ditetapkan, cirinya mestilah beridentiti tudung RTM. Malah, setiap tudung digayakan harus ada dua tona warna dan pemakaiannya kemas. Tidak ketinggalan, personaliti yang bertudung itu juga perlu bertudung sepenuh masa,” katanya.


Apa perkiraan anda dengan kenyataan ini :


“Selepas 62 tahun, RTM memecah 'sejarah' dengan membenarkan penyampai berita wanitanya tampil bertudung ketika bersiaran. “Namun, perubahan ini bukan saja pada RTM, tetapi terlalu besar buat diri saya. Kalau dulu tidak bertudung, kini bertudung pula.“Bila masyarakat sudah menonton, mestilah mereka memberi komen dan maklum balas. Apapun, setakat ini penerimaan yang saya terima sangat positif dan baik.


Bukan hendak perasan, ramai yang menghamburkan kata-kata pujian kepada saya.“Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi. Nampaknya, laluan untuk wanita bertudung tampil menyampai berita di RTM sudah pun dibuka. Kini, sesiapa yang berbakat dan berminat tidak perlu risau sama ada boleh bertudung atau tidak di RTM,” katanya.


Dan, saya amat malu dan segan untuk terus membaca, sebagai seorang muslimah, bagaimana hak tuntutan Islam dinafikan begitu mudah :


Sementara itu, bekas penyampai berita RTM, Wan Chik Hashim atau lebih dikenali sebagai Wan Chik Daud berkata tindakan RTM mengeluarkan kelulusan penyampai beritanya boleh bertudung kini adalah tepat dan seharusnya dilaksana sejak dulu lagi.Kata Wan Chik, sebagai negara yang agama rasmi Islam dan majoriti warganya juga Islam, perkara dituntut agama supaya golongan wanita menutup aurat memang wajar diambil kira.


Ini kerana, ia bukan saja hukum Tuhan, tetapi melambangkan identiti Malaysia sebagai negara Islam.“Kalau negara jiran kita, Brunei sudah lama membenarkan pemakaian bertudung kepada penyampai berita wanitanya yang beragama Islam, mengapa tidak Malaysia.


“Saya bukan mahu memuji saja-saja, tetapi negara itu turut mensyaratkan supaya penyampai berita wanita bukan Islam memakai selendang.“Apapun, di tanah air sendiri lain pula pelaksanaannya.


Pada 1984, ketika masih berkhidmat lagi di RTM, saya pernah menyuarakan hasrat bertudung selepas pulang daripada mengerjakan haji. Namun, ia tidak dibenarkan sama sekali ketika itu.


***


Dari pena saya : Kepada semua muslimah sepatutnya menunaikan hak ini dengan sebetulnya tanpa ada sebarang kongkongan dari pihak lain...Tegakkan kebebasan dan hak kita!!..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...