GURUKU!

Thursday, May 21, 2009

Selamat Hari GURU buatMU GURU-GURUKU.

Mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" buat semua guru-guru yang pernah mengajarkan saya hatta satu huruf. Budi kalian begitu berharga, dan nilaiannya hanya di sisi Allah. Jua tidak dilupa kepada Us Abdul Mokti dan Us Siti Robiah yang pernah menjadi guru rasmi saya satu ketika dulu, dan guru saya hingga kini.

Buat semua guru-guru, saya tidak mampu menulis nama kalian disini, cukup hanya doa itu mengamini.

Guru-guru rasmi saya yang telah mendidik hingga mengenal dunia dan akhirat, bermula dari tadika hingga ke universiti:

1. Taski ABIM Tapah.
2. SAR Ar-Rahmaniah, Tapah.
3. Sek. Toh Tan Dewa Sakti, Tapah.
4. Sek. Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar.
5. Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar.
6. Sek. Raja Perempuan Taayah, Ipoh.
7. Universiti Al-Azhar.

Redhailah dan berkatilah anak didikmu ini. Moga berjaya menjadi insan yang benar-benar mengenal TUHANNYA,RASULNYA dan AGAMANYA. Ameen...


Tambahan:
Teringat sekuntum bunga ros dan kad ucapan pada tarikh 16 Mei 2006, ketika saya membuka pintu bilik warden di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa Qiraaat Addin, Parit. Pagi itu, mereka ada periksa, namun sempat untuk menghargai jasa yang tak seberapa saya pada waktu itu.Amat bahagia sebenarnya. Kalian adalah penjaga kalam Allah, jagailah sebaiknya. Moga kita dapat bertemu nanti.

***

Namun, di sebalik girangnya wajah guru, kita tidak boleh melupai, beberapa wajah guru yang menanggung perit hasil biadab si anak murid. Sama-sama kita renungi:

Kes 1 : KANGAR:

Seorang guru di sebuah sekolah menengah, di sini, mendakwa diserang sekumpulan pelajar termasuk diterajang berkali-kali pada perut oleh salah seorang daripada mereka di dalam bilik darjah sekolah terbabit, di sini, pagi semalam. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas guru terbabit, Azahana Ibrahim, 27, menegur seorang pelajar perempuannya berhubung kelewatan menghantar tugasan diberikan, terutama kandungan kata-kata kesat 'Gila Babi' yang diconteng pada kerja kursus yang dihantar. Tidak cukup dengan insiden di dalam kelas itu, pelajar perempuan berusia 14 tahun itu yang dikatakan masih belum berpuas hati dengan teguran guru berkenaan, dikatakan memanggil beberapa lagi rakannya dari kelas lain untuk membalas dendam.

Kes 2 :

Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa berumur 12 tahun memukul guru sekolahnya yang berumur 26 tahun dengan penyodok apabila beliau dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah dan diminta untuk menyiapkan kerja sekolah sambil berdiri. Isu ini dikategorikan serius kerana bagaimana dalam peringkat umur yang begitu muda itu iaitu 12 tahun sudah berani melakukan tindakan ganas terhadap seorang guru.

Kes 3 :

Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecedaraan parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan. Beliau dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi- tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung.Kes 4 : Seorang guru perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat apabila guru tersebut menegur kesilapan pelajar perempuan tersebut. Akibat merasa sedih yang amat sangat apabila seorang guru diperlakukan seperti itu, guru itu membuat laporan polis.


Kesempatan saya terjumpa berita-berita ini di internet, cepat saya copy, buat kenangan, kenangan buat rakyat Malaysia yang lama saya tinggalkan. Berita dan kes-kes sebegini, sudah lama berlaku. Namun, kali ini, saya mahu abadikan di laman ini. Biar kita tahu, kerosakan akhlak yang semakin parah dan berdarah.Pertama membacanya, saya begitu terkejut.

Jika kita teliti, bagaimana adabnya pelajar dengan guru, insan yang mengajar dan mencurah ilmu. Pernah saya terdengar bagaimana ulama’-ulama’ terdahulu begitu menjaga adab mereka ketika belajar, dan yang paling saya kagumi bagaimana mereka tidak tidur andai kaki mereka menghadap ke a rah rumah guru-guru mereka. Belum dikira adab mereka seandainya duduk bersama guru-guru mereka. Namun, keadaan akhir zaman ini, begitu berbeza sekali.Bagaimanakan ilmu yang ingin disampaikan akan dapat difaham dan diamalkan andai baginilah yang berlaku.

Adakah anda boleh membayangkan murid semuda 12 tahun, berani memukul gurunya dengan penyodok kerana dimarahi gurunya disebabkan tidak menyiapkan kerja sekolah? Ini sudah melampau sebagai seorang murid yang masih muda.

Anda juga boleh melihat bagaimana pelajar perempuan begitu samseng memanggil rakan-rakan untuk membalas dendam kepada gurunya yang menegur kesalahannya yang lewat menghantar kerja kursus. Itu yang dilakukan oleh pelajar perempuan 14 tahun di Malaysia.

Banyak lagi kes-kes sebegini, malah lebih teruk. Terasa umpama jenayah di luar negara. Apabila kita teliti sebaiknya, setiap pihak hatta Kementerian Pendidikan Malaysia, sendiri pening mencari sebab berlakunya kes-kes sedemikian. Punca yang berlaku perlu di muhasabah dari segenap pihak. Bermula dari pimpinan yang memimpim, keluarga yang mendidik, guru yang mengajar dan masyarakat sekeliling yang mempengaruhi. Agak rumit untuk kita ulasi factor-faktor yang menjadi punca, namun secara tuntasnya, banyak kesilapan dan keculasan dan inilah hasilnya kepada acuan yang dibentuk. Pening-pening dengan masalah yang berlaku, rupanya ramai yang terlupa untuk menjadikan Islam itu sendiri sebagai sandaran dan rujukan. Jadi, jangan kita pelik andai pada awal acuannya sudah tidak betul. Usah banyak menunding jari mencari siapa yang bersalah. Cepatlah mencari penawarnya.


Tambahan:
Berita di atas, sudah lama berlaku di Malaysia. Cuma baru saya berkesempatan untuk publish.Tidak ada sebarang usaha untuk mengungkit, sekadar renungan bersama bagi yang belum mengetahui hakikat yang berlaku. Wallahu'alam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...