Doa itu sama dicambahkan..

Tuesday, January 8, 2008



Doa itu disama ingatkan..

Firman Allah....


"Kerana itu, ingatlah kepadaKu, nescaya akan Aku ingat pula kepadamu, dan bersyukurlah kepada Aku, dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu.." ayat 152, Surah al-Baqarah.
Begitu indah Kasih Sayang Allah kepada hambaNya, seruan Ar-Rahman ini terlalu merindui ingatan, tangisan dan doa si hamba.Bahkan diberikan jaminan akan diberi perhatian atas segala permintaan. Cuma terkadang, si hamba lupa, dan tertinggal untuk menyebut namaNya dahulu, setiap kali ditimpa musibah. Bila sakit, terus teringat untuk pergi jumpa doktor, segera dicapai pelbagai ubat, tapi...tertinggal satu perkara penting, terlupa untuk dipohonkan kepada As-Salam untuk diberi kesihatan. Terlupa untuk diselawatkan ke atas nabi junjungan, Muhammad SAW. Terus, langsung dilafazkan.." Ubat ni bagus, makan sikit, terus sihat..""Doktor tu pandai mengubat, jumpa dia, terus sihat.." Ingat, hati-hati dengan kalimah-kalimah sebegini, bimbang terjerumus ke dalam dosa-dosa syirik! Jika hati tidak dii'tikadkan bahawasanya, ALLAH lah yang menyembuhkannya atas sandaran itu. Itulah manusia, jarang bersyukur. Terlupa, hakikat sebenar yang 'memberikan' penyakit dan yang berhak 'menyembuhkan'.

Firman Allah lagi dalam surah yang sama ~

" Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar..." ayat 153.


Sabar dilihat satu aset atau petua penting dalam mencapai kejayaan. Banyak teladan dan pengajaran yang boleh kita hayati dari sirah perjuangan para anbiya' dan pejuang-pejuang dalam menuju kejayaan yang hakiki. Sabar mungkin mudah untuk dilafazkan, tapi terlalu sukar untuk direalisasikan.Dalam pelbagai siuasi dan keadaan, sabar umpama ibu bagi menakhodakan hati dan perasaan. Begitu tinggi jaminan Allah kepada golongan yang bersabar. Begitu jua solat, satu tiang amalan yang paling utama yang akan ditanya Allah. Justeru, perbaikilah solat kita, dari mula bersuci dan menunaikan solat hingga ke akhirnya.

Firman Allah lagi..dalam surah yang sama ~


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka berada dalam kebenaran.." ayat 186
Banyak pengajaran dan buah-buah nasihat yang boleh dipetik dari ayat di atas. Ringkasnya, taiada selayak tempat pengaduan melainkan kepada Allah. Oleh itu, tunaikan segala hak-hak kita selaku hambaNya, bagi mencapai kejayaan yang sebenar..!
Lalu, jangan dilupa untuk mencambahkan doa itu buat teman-teman, guru-guru, keluarga, saudara-mara, umat Islam seluruhnya..! Cambah, dan buahkan doa itu, moga orang lain turut merasai kemanisannya. Doa yang paling dimakbulkan adalah doa kita untuk orang lain, kerana malaikat turut mengaminkannya..Jadikanlah doa kita doa yang bercambah, doa yang paling manis, hingga orang lain turut merasai kemanisannya...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...