Melodi “ Ayah dan Ibu “

Monday, June 9, 2008



Melodi “ Ayah dan Ibu “

... membawa saya ke awangan sebentar, rehat di balik awan dan camar-camar, indah dalam gubahan kasih. Tunduk saya, cuba mencari arah, satu kekuatan. Mengalirlah air duka, bukan duka tapi bahagia, bahagia dalam satu sendu. Renung pada satu kenangan, putarannya entah berapa kali. Erat didakap melodi itu, kemudian terlepas, saya gusar. Cahaya kelip-kelip si bintang,datang dengan satu khabaran. Cuba bertanya, jawapannya begitu pasti, tapi, saya risau lagi. Nur si rembulan menyisih, tanya lagi saya, jawapannya begitu jua, akhirnya saya yakin dan pasti. Janji dariNya tak pernah termungkir, ya, Terima Kasih Ya Tuhan!




***

SATU....

Suara itu sayu untuk saya terus dengari, dan , saya pasti, akhir kalamnya, ada segunung harapannya yang tak terucap di bibir. Namun, kiasannya cukup bermakna buat saya. Hati saya cukup senang dengan kata-katanya, cukup ringkas, tak perlu meleret dan ia amat terkesan di hati. Beliau begitu pandai menyusun kata-kata buat puterinya. Beliau cukup pandai bersastera rupanya. Luahan rindunya kadang-kadang, saya tak dapat mengesan aral lintangnya. Kenapa begitu lambat buat saya untuk menyedarinya, inilah hikmah saya berjauhan darinya. Jadi, tak salah untuk saya menyusun seringkas mungkin bait-bait buatnya : ~


Bonda,

Tabah serelung jiwamu,
Kuat semangat juangmu,
Diam kau menyisih sendu,
Walau hatimu cukup pilu.

Bonda,

Tundukmu pada takdir Ilahi,
Sandaranmu tak pernah dimungkiri,

Kau terus berjalan dengan cara tersendiri,
Dan, bening-bening suci mengalir lagi.

Bonda,

Impian itu moga ketemu jua,
Potret kasih murni tetap di jiwa,
Senyum itu buatku bahagia,
Bahagia menyisih duka.


***

DUA...

Semangat suara itu melambung kata-katanya. “Takkalam Ya binti, Fi Lughah ‘Arabiah, Haisu kanat, Imma Fushah au ‘Amiyyah, La budda fi hazal Lughah!’, kalam yang tak lepas darinya. Bingung saya menyusun kata, beliau lagi lancar menuturnya. Saya malu dan terus malu. Aduhai, gersangnya saya di bumi anbiyak ini. Kontangnya saya dengan ilmu, berbanding beliau. Malu ini harus dicantas dengan tindakan! Cabarannya masih diingatan, impiannya, mahu lebih dan jadi ‘Terhebat’ darinya, itu sudah cukup. Tapi, biar ‘LEBIH’ lagi. Mampukah saya? Pening. Wajahnya saya tatap berkali-kali, ada sayu dari alis tuanya. Ada harapannya yang tinggi buat putera dan puteri-puterinya. Tak pernah lesu kalamnya, riang dan cerianya, saya tak boleh lupa, dan takkan sekali-kali lupa. Cukup dulu ya!

Ayahanda,

Nafas helamu berpuing pesan,
Mahal bening itu sukar dikesan,
Keringatmu pada satu keberkatan,
Guraumu berlagu pada kenangan.

Ayahanda,

Mau’izahmu berputar-putar,
Belajar biar rasa takut dan gentar,
Taqwa dan Malu pada Al-Jabbar,
Hatiku pening dan bergetar.

Ayahanda,

Nilaimu tafsirannya buatku kelu,
Fursah ini takkan terus berlalu,
Biar thabat tak perlu bertalu-talu,
Damai resah buat yang merindu.

***

LAGI...

Kaki saya turun kembali, memijak di bumi, setelah lama di lelangit. Lambai saya pada rembulan dan bintang, janji untuk ketemu esok. Camar-camar turut berjanji, akan terus menemani di balik awan. Sudah puas? Kata hati saya, enggan mengangguk. Usah risau, nanti janji itu terpatri. Bersaksikan pada Ilahi! Segan untuk mengangguk, biar, biar tenang dan damai bersama kalamNya, Ya, undur dulu ya!...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...