cerita hari ini..

Saturday, April 12, 2008

Dengan Nama Allah...

Hari ini, saya ingin berkongsi satu cerita. Satu nama, yang saya kira satu Tokoh yang saya kagumi. Belum pernah, saya kira, mana-mana media menyiarkan kisahnya. Jadi, hari ini, hati saya berpesan sungguh-sungguh untuk saya kongsi cerita hati ini.


***

Beliau lahir di sebuah perkampungan yang indah permai pada tanggal 10 Mei 1959.Merupakan anak ke-3 dari 8 orang adik-beradik. Lahir dari keturunan Pattani, membesar dalam keadaan yang agak sukar dalam menyelami kehidupan yang penuh onak duri...Dalam keadaan adik-beradik yang ramai, seramai 8 orang, beliau dihantar untuk dibesarkan bersama nenek dan hidupnya lebih terjamin dari aspek pendidikan dan nilai-nilai akhlak.

Anak gadis ini terus tekun menuntut ilmu meskipun dalam keadaan serba kekurangan..Beliau terus belajar di pondok menelaah kitab-kitab lama, meskipun berjauhan dari keluarga, dan dalam keadaan rakan-rakan yang enak bermain dalam usia remaja. Seawal usia 19 tahun, beliau dipinang oleh seorang pemuda yang tika itu, begitu komit dengan ABIM. Teratak ayah bondanya pada ketika itu, dipenuhi pemuda-pemuda yang berkopiah yang pada ketika itu, menjadi satu kepelikan bagi perkampungan tersebut. Sungguh, pemuda itu sungguh bertuah dapat menawan hati si bapa saudara si gadis, di tengah asakan pihak lain. Terus mendirikan rumahtangga pada tanggal 1978, dan menerima cahaya mata yang sungguh comel, seorang bayi perempuan, pada tanggal 1979.

Menerusi kehidupan bersama seorang pejuang, hati beliau begitu ampuh dan sabar disamping thabat dalam menempuh ranjau duri yang acapkali melingkar dan menyinggah dalam siri episod hidupnya. Berpindah rumah sudah menjadi asam garam hidupnya, dari Kedah yang ketika itu sudah dikurniakan 3 orang cahaya mata, berpindah pula ke Perak, yang ketika itu, suaminya bertugas sebagai pembantu makmal sains di Sekolah Men. Dr Burhanuddin, Taiping. Rezeki ilahi, suaminya, ditawarkan berkerja sebagai imam di masjid Tapah, berpindah lagi ke Tapah yang ketika itu, sudah mempunyai 6 orang cahaya mata. Disitulah, terlalu banyak suka-duka yang dilalui. Tugas sebagai seorang isteri, ibu dan pendidik. Sewaktu itu, beliau berkerja sebagai seorang ustazah yang mana, suaminya bertugas sebagai guru besar di sekolah agama rakyat yang sama. Begitu mencabar perjalanan hidupnya, seharian berhempas pulas menguruskan rumahtangga, mengajar di sekolah dan mengajar anak-anak yang ramai pula di sebelah malam.

Kecekalan hati terus diuji, tawaran suaminya untuk berkhidmat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar diterima dengan hati yang bahagia, walaupun tahu perpisahan yang akan berlaku. Mengambil tugas sebagai seorang ibu dan bapa dalam satu masa, di samping anak-anak yang sedang membesar dari segenap peringkat, universiti, menengah, rendah, tadika, dan sekecil bayi bukan lah satu perkara yang mudah.Namun, selama hampir 5 bulan terpaksa berkorban demi melihat kebahagiaan keluarga, hati dikuatkan juga. Walau terkadang ada airmata yang menemani, namun hati seorang ibu tidak pernah mengenal erti penat lelah......

Setelah berpindah ke Kuala Kangsar, tugas yang sama dipikul, seorang ustazah. Rutin harian yang begitu asyik membanting tulang 4 kerasnya tidak pernah menghalang untuk beliau terus berkhidmat dengan tanah, setia tangan mulusnya menanam aneka tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran....nyata tangan itu tak menghampakan.. Amanah terhadap jiran juga tak pernah diabaikan. Setia beliau menjaga anak jiran sehinga anak si jiran enggan pulang ke rumahnya..

Hidupnya terus mengembara di tempat orang, pada tahun 2003, pindah lagi ke Pengkalan Hulu. Tika ini, anaknya sudah 9 orang, dan masing-masing sudah membesar. Dan kala ini, beliau boleh tersenyum bangga melihat hasil didikan bersama suaminya....Anak-anak yang seramai ini, masing-masing sudah boleh berdikari.... Anak sulungnya yang sudah berjaya menghabiskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, dalam bidang perubatan dan kini sedang bertugas sebagai doktor di Pulau Pinang, manakala anak kedua lulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam bidang Usuluddin..dan sedang bertugas sebagai pensyarah di Ipoh...dan kini anak-anak yang lain bakal mencorak impian. Anak lelaki tunggal yang ditatang bakal berkhidmat sebagai seorang jurutera, sedang tekun menuntut di Universiti Sains Malaysia.

Didikan yang diutamakan kepada anak-anak adalah agama, justeru, kesemua anak-anaknya dihantar ke sekolah asrama agama, kerana tiada yang lebih berharga melainkan mendapat anak-anak yang soleh dan solehah. Dan kini, hati seorang ibu ini begitu teruji di saat terpaksa berpisah dengan anak-anak, yang masing-masing berjauhan menunaikan kewajipan....Didoakan semoga beliau bahagia meniti usia walau sepahit mana ujian yang datang menimpa.

***
Ringkas kisah tokoh ini yang dapat saya muatkan di kanvas ini. Akan terus saya kagumi tokoh ini hingga ke akhir hayat..Rindu saya terus berlabuh dan takkan pudar. Siapa tokoh ini disisi saya?? Beliau insan cukup tak ternilai anugerah Allah. Insan inilah yang menghadapi keperitan dan kesakitan dalam melahirkan saya...Doa saya buat beliau moga dikurniakan kasih dan rahmat Ilahi, bersempena tarikh kelahirannya yang ke 49, pada 10 April 2008 lepas....


Buat sang camar, tolong kirimkan salam saya padanya...

1 comments:

cik eila said...

cerita seorg anak mengenai ibunya....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...