Ya Muhammad

Saturday, May 22, 2010


Tajuk : Ya Rasul

Oleh : siti adawiyah abdullah


Ya Rasul,

Jasamu belum terbalas,

Umat ini belum mengerti,

Pada penat lelah,

Tangismu di akhir itu.

Ya Rasul,

Padang sahara sayu melihat perjalananmu,

Awan setia menemanimu,

Tanah bangga menanggung telapakmu,

Semua tersenyum bahagia mendampingimu.

Ya Rasul,

Sengsara umat di hujung ini,

Kau janjikan pada FirmanNya,

Allah tidak pernah menzalimi,

Sentiasa Merahmati dan Mengasihani.

Ya Rasul,

Sujudmu di akhir hari,

Doamu tulus penuh harap,

Beningmu syahdu mengalir,

Hanya kerana ummatmu ini.

Ya Rasul, Ya Habiballah.

Rindu kami tak tertanggung lagi,

Kami tak pernah redha dengan mereka!

Angkuh dan bangga,

Menyesatkan umat ini,

Mempersendakanmu dan dakwah suci,

Kami mempertahankan kemuliaanmu,

Syafaatkan kami,

Moga kita dipertemukan di riyadhNya yang indah.


Hati Yang Beriman

Wednesday, May 19, 2010



Ketenangan dan kebahagiaan
adalah hembusan dari langit,
diturunkan ke lubuk hati orang beriman,
Mereka tetap berhati TEGUH,
di kala orang lain dalam kegoncangan.

- Syed Qutub-



Saya amat senang dengan kata-kata di atas. Tidak jemu menatap. Inspirasi bagi mereka yang beriman. Yakin dengan segala janji-janji Tuhan Sekalian Alam. Punyai keteguhan hati, ditimpa ujian, tidak melatah, ditimpa musibah, tidak pernah rasa kecewa. Semuanya indah andai itu dariNya.


Bahkan, mereka sentiasa dalam ketenangan bersama kasih Allah. Tidak pernah gusar walau sesaat. FirmanNya telah membuktikan bahawa dengan hanya mengingatiNya, hati akan menjadi tenang. Inilah sifat orang yang beriman, Allah sentiasa di hati. Doakan agar kita adalah sebahagian dari pemilik hati-hati yang sentiasa tenang, dikala orang lain dalam kegelisahan.

Takziah buatnya

Saturday, May 15, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam
Selawat dan Salam buat Junjungan Nabi Khairul Annam


Imam Abu Darda berkata:

" Ketika mana Allah menetapkan sesuatu takdir, yang paling disukai oleh Allah adalah HambaNya yang redha dengan takdir tersebut..."

Ucapan takziah saya ucapkan buat teman sekuliah saya, Basyatul, atas pemergian anaknya, tanpa sempat mengecapi hidup di dunia. Beliau tabah menghadapi detik-detik yang amat menyentuh jiwa dan rasa. Harapan untuk bergelar ibu, tidak diizinkan lagi olehNya. Saat ini, emosinya cukup terusik, perlu berdepan dengan imtihan fasa 2, dengan bebanan derita perasaan. Sakitnya melahirkan bayi, tidak tertanggung dengan kehilangan satu yang amat berharga ini.

Perjuangannya selama ini, dalam tempoh hampir sembilan bulan, berakhir dengan satu kehilangan, yang hanya Dia yang tahu apakah hikmahnya. Benarlah, semua yang ada di sisi kita hanya pinjaman. Hanya Dia yang Berhak untuk memberi pinjam atau mengambilnya semula. Bagi makhluknya, kita amat memerlukan iman yang kuat dan teguh untuk meredhai segala apa yang berlaku.

Warna-warni Dunia



Warna-warni dunia.


**satu**

Melihat langit, tiada angin gembira, melainkan mendung di balik awan, menunduk ke pelusuk bumi, tiada daunan hijau, tinggal rumput nan tandus, ke mana lagi harus dipalingkan pandangan ini? Jijik mahu melihat dunia sekarang! Penuh pohon kebencian, api kemarahan, lautan keganasan. Semua ini hanya kepalsuan yang dinyatakan?


**dua**


“Mak untuk apa mak lahirkan saya?”, “ Ayah, kenapa manusia perlu menjadi pemimpin dunia? Bukankah manusia itu banyak salah silapnya”… bertalu soalan keluar dari benak si kecil. Ah, cukup gusar memikirkan jawapan ini. Mengapa rakan sebaya saya di Iraq kebuluran?,Rakan saya di Palestin bermain dengan hujanan peluru? Bayi yang masih kecil berlumuran darah? Apa makna rakan saya di Palestin bersaksikan pada kakinya yang kudung pada ganjaran di SyurgaNya?


**tiga**


Haram tetap haram disisi Islam, Tapi, kini, manusia berani menghalalkanya! Bukankah dia juga bersaksi pada Tuhan Muhammad SAW sekalian alam? Dia juga tahu akan dosa-dosa pada amalnya. Berani dia bertitah pada makhluk dengan angkuhnya, melawan aturan dan FirmanNya? Dia sesekali tidak layak untuk menjadi pemimpin umat. Tidak sekali-kali.


**empat**


“Wahai guru, apakah erti kejahilan dunia sekarang?” Ya, dunia ini sudah ke penghujungnya. Lalu, apa yang harus saya lakukan? Berdepan dengan sorak gembira mereka-mereka yang bangga menghimpun dosa. Bangga melanggar perintahNya. Mahu dunia menjadi milik mereka. Buat apa hidup dengan peraturan, biarkan kami bebas begini!...Inilah jawapan bangsa umat yang tidak pernah mengira titik peluh dan darah Nabi mereka.


** lima**


Dunia penuh bahagia? Penuh kasih-sayang? Penuh kemaafan? Benarkah? Oh, dunia penuh warna-warni, semacam pelangi yang menghiasi awan di langit. Indah bukan? Kalau mahu seindah itu, harus dulu menelan ranjau ujian. Perlu menerima gerimis dan harus ada sinar mentari, baru bisa pelangi yang berwarna-warni terukir di medan bahagia. Benarkah ayah? Benarkah mak? Kebuntuan berakar tunjang mencengkam!




Wahai Nafsu

Monday, March 8, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Ibn Qayyim pernah berkata:


Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji hambanya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan,tiada lain ia bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan sehingga perjuangan itu akan melahirkan cinta kepada Allah…..


Pernahkah anda merasa bahawa anda sedang berlawan dengan nafsu? Melawan segala godaan nafsu? Ya, nafsu yang merajai jiwa kita inilah di antara pintu-pintu masuknya bisikan syaitan. Sungguh, amat perit melawan godaan nafsu. Hingga ramai yang tertewas dan terkandas. Jika tidak, mana mungkin kita melihat segala macam natijah dek kerana nafsu ini.Realitinya, begitu susah untuk mendapat martabat nafsu muthmainnah. Teruslah mengejar, walau biar payah, hingga perjuangan ini menambahkan cinta kepadaNya.


Baru-baru ini, saya sempat melihat satu adegan kartun, bagaimana nafsu umpama besi yang begitu kukuh memagari setiap anggota. Kita memerlukan kekuatan yang cukup tinggi untuk meleraikannya! Salah satu usaha untuk meleraikannya, adalah teman kita. Ya, bilamana baiknya seseorang teman, hingga mampu mengajak ke arah kebaikan dan menghalang keburukan.Inilah konsep " Ta'awun 'ala Birri wa Taqwa" yang di ajar Islam! Cukup Menarik.


Ulama sufi bersyair:-

Ku tinggalkan apa yang aku inginkan

Demi apa yang Kamu inginkan

Aku rela apa yang Kamu relakan

Meski bagiku itu tidak menyenangkan...


Sanah Helwah

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Bertambahnya umur, tanda semakin kita menghampiri kepada saat akhirnya hayat. Semakin hampir kepada muara pengakhiran dunia ini.Bertambah umur, bertambah kenallah dunia ini, dan yang terbaik, bertambah mengenal Pencipta Segala Alam ini!

SANAH HELWAH, KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR

Buat :
Muhammad Al-Fateh untuk tahun yang pertama...
Jadila permata buat baba dan ibu, pahlawan terbilang generasi ini.

copy picture from hanielfuady


Tidak lupa buat:

Muhammad Irsyad untuk yang ke 24 tahun...

Semoga berjaya untuk menamatkan pengajian hingga bisa menjadi seperti...Yahya Ayash. Jurutera yang menyumbangkan kepakaran buat ummat Islam di Palestin, hingga syahid menemui cinta AgungNya.


Tambahan:
Posting yang terlewat
.

Sampai masanya

Friday, February 5, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Sampai masanya, Aku turut serta.

MATI

Berderau nadi mendengar kalimah itu,

Enggan pisahnya tubuh dan nyawa,

Natijah penyakit al-Wahn merajai,

Resapi seluruh jasad dan hati.


PanggilanNya tiba satu masa nanti,

Pelbagai cara yang tak terduga akal,

Yang punya iman yakin dan pasti,

Ripuh mereka menyiapkan bekal.


Kebelakangan ini, saya mendapat beberapa berita tentang kematian. Pemergian kerabat dari kenalan-kenalan yang rapat.Beberapa hari yang lepas, mendengar berita pemergian seorang kakak kepada teman, hati terkedu. Paling menyentuh hati, beliau baru sahaja seminggu melahirkan seorang anak. Beliau meninggal disebabkan terjatuh di bilik air.


Tinggal si anak tanpa sempat merasai susu ibu kandungnya.Begitu ajal tiba menjemput hambaNya. Tanpa diduga keluarga dan kenalan akan waktunya. Siapa dapat meneka? Si suami tentu begitu gembira dengan kelahiran cahaya matanya, namun, terpaksa menerima bahawa isterinya bukan miliknya buat selama-lamanya. Baru tersedar, semuanya milik Allah, Dia berhak untuk menjemput hambaNya bila-bila masa.


Itulah MATI yang dirakamkan dalam al-Quran akan kepastiannya. Malah, tidak akan cepat walau sesaat, dan tidak akan tertangguh walau sesaat. Hati saya berbisik,”Bagaimanakah pula caranya saatku nanti? Bilakah pula?” Ya Allah!

Jasa Ibu

Sunday, January 17, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


BESARNYA jasa IBU.

Baru-baru ini, sempat saya menziarah insan yang telah melahirkan seorang anak. Semasa melihat si ibu, tidak kurang baru sehari beliau bersalin. Melihat wajahnya, tidak tertanggung rasanya beban sakit yang terhebat 'rasanya' kurniaan Allah.Subhanallah! Itulah harga bagi mendapatkan zuriat penyambung ummat zaman ini. Bukankah Nabi Muhammad SAW begitu berbangga dengan wanita yang melahirkan anak yang ramai?Malah anak itu mampu dididik hingga bakal menjadi penyambung risalah suci. Itulah kelebihan yang ada pada wanita, selemah-lemah mana pun, kekuatannya mampu melahirkan seorang anak. Jika dikira jasa ibu, cukuplah 9 bulan mengandung, keperitan melahirkan si anak dan susah payah menjaga sewaktu kecil, sudah tidak terbalas rasanya! Apatah pula jasanya mengurus si anak hingga menjadi orang hebat di mata masyarakat. Siapa tahu, hebatnya seseorang itu, adalah hebatnya si ibu yang menjaganya dan sentiasa mendoakannya. Justeru, bila melihat hebatnya seseorang, terus saya tergambar, pasti ibunya juga hebat! Lihatlah sejarah membuktikan, hebatnya para ulama', pasti ibunya jua hebat. Saya pasti, anda dapat menilai di manakah kehebatan seorang ibu, kerana anda jua mempunyai ibu.




Cerita mengenai jasa ibu dari blog
www.hanielfuady.blogspot.com
[Gambar: al Fateh 2 jam 6 minit sejurus selepas dilahirkan. Nikmatnya melahirkan!]


“Anak akak yang besar darjah berapa?” dalam minat aku bertanya apabila mendapat tahu akak ini sudah punya 5 orang anak. “ anak akak yang besar baru 5 tahun…setahun sorang..” dalam bersahaja akak ini menjawab. MasyaAllah…kuatnya. Setiap tahun?? Rezeki Allah bagi. Setiap orang punya agihan rezeki yang berbeza. Yang pasti, Allah itu Adil dalam setiap kurnianNya.

Akak ini usianya baru 27 tahun….muda setahun dari hani, namun Allah kuniakan padanya anak-anaknyang ramai dalam usianya yang masih muda. Dan yang paling mengagumkan hani, dia kuat dalam melalui setiap fasa-fasa kehamilan sehinggalah kelahiran anak-anaknya. Melahirkan satu nyawa amanah Allah ke dunia bukan suatu perkara yang mudah. Nyawa menjadi taruhan. Antara hidup dengan mati. Antara satu nyawa yang bertaruh, dengan satu nyawa baru yang menaruh harap untuk melihat dunia. Besar amat pengorbanan seorang ibu yang melahirkan. Besar amat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...