Wahai Nafsu

Monday, March 8, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Ibn Qayyim pernah berkata:


Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji hambanya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan,tiada lain ia bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan sehingga perjuangan itu akan melahirkan cinta kepada Allah…..


Pernahkah anda merasa bahawa anda sedang berlawan dengan nafsu? Melawan segala godaan nafsu? Ya, nafsu yang merajai jiwa kita inilah di antara pintu-pintu masuknya bisikan syaitan. Sungguh, amat perit melawan godaan nafsu. Hingga ramai yang tertewas dan terkandas. Jika tidak, mana mungkin kita melihat segala macam natijah dek kerana nafsu ini.Realitinya, begitu susah untuk mendapat martabat nafsu muthmainnah. Teruslah mengejar, walau biar payah, hingga perjuangan ini menambahkan cinta kepadaNya.


Baru-baru ini, saya sempat melihat satu adegan kartun, bagaimana nafsu umpama besi yang begitu kukuh memagari setiap anggota. Kita memerlukan kekuatan yang cukup tinggi untuk meleraikannya! Salah satu usaha untuk meleraikannya, adalah teman kita. Ya, bilamana baiknya seseorang teman, hingga mampu mengajak ke arah kebaikan dan menghalang keburukan.Inilah konsep " Ta'awun 'ala Birri wa Taqwa" yang di ajar Islam! Cukup Menarik.


Ulama sufi bersyair:-

Ku tinggalkan apa yang aku inginkan

Demi apa yang Kamu inginkan

Aku rela apa yang Kamu relakan

Meski bagiku itu tidak menyenangkan...


Sanah Helwah

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Bertambahnya umur, tanda semakin kita menghampiri kepada saat akhirnya hayat. Semakin hampir kepada muara pengakhiran dunia ini.Bertambah umur, bertambah kenallah dunia ini, dan yang terbaik, bertambah mengenal Pencipta Segala Alam ini!

SANAH HELWAH, KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR

Buat :
Muhammad Al-Fateh untuk tahun yang pertama...
Jadila permata buat baba dan ibu, pahlawan terbilang generasi ini.

copy picture from hanielfuady


Tidak lupa buat:

Muhammad Irsyad untuk yang ke 24 tahun...

Semoga berjaya untuk menamatkan pengajian hingga bisa menjadi seperti...Yahya Ayash. Jurutera yang menyumbangkan kepakaran buat ummat Islam di Palestin, hingga syahid menemui cinta AgungNya.


Tambahan:
Posting yang terlewat
.

Sampai masanya

Friday, February 5, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


Sampai masanya, Aku turut serta.

MATI

Berderau nadi mendengar kalimah itu,

Enggan pisahnya tubuh dan nyawa,

Natijah penyakit al-Wahn merajai,

Resapi seluruh jasad dan hati.


PanggilanNya tiba satu masa nanti,

Pelbagai cara yang tak terduga akal,

Yang punya iman yakin dan pasti,

Ripuh mereka menyiapkan bekal.


Kebelakangan ini, saya mendapat beberapa berita tentang kematian. Pemergian kerabat dari kenalan-kenalan yang rapat.Beberapa hari yang lepas, mendengar berita pemergian seorang kakak kepada teman, hati terkedu. Paling menyentuh hati, beliau baru sahaja seminggu melahirkan seorang anak. Beliau meninggal disebabkan terjatuh di bilik air.


Tinggal si anak tanpa sempat merasai susu ibu kandungnya.Begitu ajal tiba menjemput hambaNya. Tanpa diduga keluarga dan kenalan akan waktunya. Siapa dapat meneka? Si suami tentu begitu gembira dengan kelahiran cahaya matanya, namun, terpaksa menerima bahawa isterinya bukan miliknya buat selama-lamanya. Baru tersedar, semuanya milik Allah, Dia berhak untuk menjemput hambaNya bila-bila masa.


Itulah MATI yang dirakamkan dalam al-Quran akan kepastiannya. Malah, tidak akan cepat walau sesaat, dan tidak akan tertangguh walau sesaat. Hati saya berbisik,”Bagaimanakah pula caranya saatku nanti? Bilakah pula?” Ya Allah!

Jasa Ibu

Sunday, January 17, 2010

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan Kalam,
Selawat dan Salam Buat Junjungan Nabi Khairul Annam...


BESARNYA jasa IBU.

Baru-baru ini, sempat saya menziarah insan yang telah melahirkan seorang anak. Semasa melihat si ibu, tidak kurang baru sehari beliau bersalin. Melihat wajahnya, tidak tertanggung rasanya beban sakit yang terhebat 'rasanya' kurniaan Allah.Subhanallah! Itulah harga bagi mendapatkan zuriat penyambung ummat zaman ini. Bukankah Nabi Muhammad SAW begitu berbangga dengan wanita yang melahirkan anak yang ramai?Malah anak itu mampu dididik hingga bakal menjadi penyambung risalah suci. Itulah kelebihan yang ada pada wanita, selemah-lemah mana pun, kekuatannya mampu melahirkan seorang anak. Jika dikira jasa ibu, cukuplah 9 bulan mengandung, keperitan melahirkan si anak dan susah payah menjaga sewaktu kecil, sudah tidak terbalas rasanya! Apatah pula jasanya mengurus si anak hingga menjadi orang hebat di mata masyarakat. Siapa tahu, hebatnya seseorang itu, adalah hebatnya si ibu yang menjaganya dan sentiasa mendoakannya. Justeru, bila melihat hebatnya seseorang, terus saya tergambar, pasti ibunya juga hebat! Lihatlah sejarah membuktikan, hebatnya para ulama', pasti ibunya jua hebat. Saya pasti, anda dapat menilai di manakah kehebatan seorang ibu, kerana anda jua mempunyai ibu.




Cerita mengenai jasa ibu dari blog
www.hanielfuady.blogspot.com
[Gambar: al Fateh 2 jam 6 minit sejurus selepas dilahirkan. Nikmatnya melahirkan!]


“Anak akak yang besar darjah berapa?” dalam minat aku bertanya apabila mendapat tahu akak ini sudah punya 5 orang anak. “ anak akak yang besar baru 5 tahun…setahun sorang..” dalam bersahaja akak ini menjawab. MasyaAllah…kuatnya. Setiap tahun?? Rezeki Allah bagi. Setiap orang punya agihan rezeki yang berbeza. Yang pasti, Allah itu Adil dalam setiap kurnianNya.

Akak ini usianya baru 27 tahun….muda setahun dari hani, namun Allah kuniakan padanya anak-anaknyang ramai dalam usianya yang masih muda. Dan yang paling mengagumkan hani, dia kuat dalam melalui setiap fasa-fasa kehamilan sehinggalah kelahiran anak-anaknya. Melahirkan satu nyawa amanah Allah ke dunia bukan suatu perkara yang mudah. Nyawa menjadi taruhan. Antara hidup dengan mati. Antara satu nyawa yang bertaruh, dengan satu nyawa baru yang menaruh harap untuk melihat dunia. Besar amat pengorbanan seorang ibu yang melahirkan. Besar amat.

Mabruk Lakum!

Thursday, December 31, 2009


Kesempatan yang diberikan olehNya, hari ini , secebis ucapan dari perantauan saya hulurkan buat mereka. Saya tiada peluang untuk itu, untuk melihat detik-detik bahagia mereka. Kekanda-kekanda yang akan menempuh alam baru. Kalau dulu, Kekanda Sakinah bersama abang ngah, Mohd Fuad, melangsungkan perkahwinan, saya berada di Mesir, untuk kali ini juga begitu.

Agak sukar juga menerima hakikat mereka akan meninggalkan teratak kami. Inilah aturan alam. Saya selalu berangan untuk kembali ke zaman kanak-kanak, bersama sekeluarga. Bermain, bergelak dan melalui kehidupan dalam keseronokan. Namun,ini bukanlah medan untuk sentiasa bahagia dan tertawa, kerana dunia hanya persinggahan, memerlukan kesabaran dan kekuatan. Akhirat jua tempat bahagia yang selama-lamanya. Ya Allah, mudahan kami sekeluarga ditemukan dalam naungan rahmatMu di akhirat kelak, amen.


***

Sirih bermadah pinang berhelah,

adat kelmarin dibelah rapi,

Merisik sudah, bertunang sudah,

Kini majlis kenduri yang dinantikan….


SELAMAT PENGANTIN BARU buat:~

Sa’idah binti Hj Abdul Mokti bin Ayob

&

Abdul Rashid Redho bin Abdullah

Dan pasangan

Shakiroh binti Hj Abdul Mokti bin Ayob

&

Muhammad Fazwan bin Mohd Masdik


Yang telah melangsungkan perkahwinan mereka pada Khamis, 31 Disember 2009, bersamaan 14 Muharram 1431H, di kediaman:

Rumah Imam Masjid Iskandari,

33100 Pengkalan Hulu,

Perak.



Ya Allah, Ya Rahim…

Dari setinggi-tinggi dan seluaskasih sayangMu

Kepada pengantin suami isteri,

Berkatilah majlis yang diadakan

Dengan keberkatan dari permulaan

Hingga pengakhirannya..

Sesungguhnya pertemuan ini

Dengan izinMu.

Mudah-mudahan perkongsian hidup

Yang dibina berkekalan hingga ke akhir usia.

Dengan Taufik dan HidayahMu.

Beruntunglah keduanya dalam

Kehidupan di dunia lebih-lebih

Lagi di akhirat….

Ameen…Ya Rabbal Alamin.



Tambahan:



1. Tahniah buat ayahbonda.


2. Al-Fateh n Ammar dah dapat pak long n pak lang.


3. Abang Ngah n Abg Irsyad dah ada geng.:)

Mutiara Kata


Kata-Kata Saidina Ali Karamallahuwajhah :~



1. Perkara yang paling bahaya buatmu ialah apabila engkau memberitahu ketuamu bahawa Orang yang paling panjang umurnya ialah sesiapa yang banyak ilmunya dan beradab dengan ilmu tersebut atau sesiapa yang banyak melakukan kebaikan sehingga keturunannya selepas itu dipandang mulia kerana kebaikan tersebut.


2. Ketahuilah bahawa satu bentuk ujian ialah kesengsaraan hidup, dan yang lebih teruk daripada kesengsaraan hidup ialah sakit tubuh badan, seterusnya yang lebih dasyat daripada sakit tubuh badan ialah sakit hati.


3. Hendaklah kamu memakai wangi-wangian istighfar supaya bau dosa tidak membuka keaiban kamu.

4. Hendaklah kamu mempelajari ilmu kerana ilmu merupakan hiasan bagi orang yang kaya dan pembantu bagi orang yang fakir.


5. Empat perkara yang boleh membawa ke syurga :

1. Merahsiakan musibah,

2. Merahsiakan sedekah,

3. Berbuat baik kepada ibu bapa,

4. Memperbanykan menyebut kalimah lailahaillallah.


6. Tidak akan mati, sesiapa yang menghidupkan ilmu, dan tidak akan faqir sesiapa yang memiliki kefahaman.


7. Barangsiapa yang takutkan Allah SWT, maka dia akan ditakuti oleh semua makhluk Allah SWT.


8. Wahai anak Adam AS, apabila engkau melihat bahawa Allah terus-menerus memberikan nikmat

kepadamu, sedangkan engkau derhaka kepadaNya, maka awaslah.


9. Melahirkan kesengsaraan hidup, menunjukkan kelemahan azam dan cita-cita.



Imtihan


Assalamualaikum w.b.k.t

Buat semua Teman Seperjuangan..
"Belajarlah kerana kita masih punyai peluang itu, apa peluang itu?
Itulah "Nyawa" yang masih diberi oleh Allah. Maka, tiada alasan untuk kita culas belajar hatta kerana sakit. Kerana ilmu Allah itu luas, bukan sekadar pelajaran di kuliah atau dimana-mana pengajian, namun, belajarlah dari alam sekeliling, dan teruslah belajar untuk mengenal Allah, Tuhan Semesta Alam.

Maafkan diri ini

Tuesday, December 22, 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Salam buat semua.
Puas saya membiarkan blog ini.Tanpa sebarang berita,tanpa secebis rasa untuk dikongsi.Bersalahkah? Ramai kenalan bertanya,bila mahu update n publish post? Saya tidak tahu sampai bila.Banyak yang ingin dikongsi.Masakan boleh dilupa pada nama itu- Kem Remaja Luqman.Ya Allah! KasihMu ku amat perlu.Saya bimbang dihanyuti dunia yang akan mati ini! Biarkan aku terus hidup dengan panduanMu.
Biar sampai selesa di akhirat. Cukup dulu mukadimah pertama,setelah hampir 4 bulan menyepi diri.
Tambahan: Saya pernah mahu meletakkan entri 3 bulan yg lepas,namun masalah internet yang tiba2 putus,harapan itu terus putus,tapi hingga ke hari ini ye?;-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...