Salam penuh hormat
Putih merpati indah di kayangan,
Rawan merak anggun di sisi,
Andai ini tinggal pilihan,
Sudi hendaknya hati menanti.
Sudah lama, saya berkira untuk membuka kembali laman ini. Walau nampak sudah usang tanpa hiasan, namun satu pembaharuan yang ingin saya buat satu hari nanti. Pantun pagi Isnin ini, tanpa rancangan untuk diukirkan, namun tangan pantas merealitikan hasrat hati. Banyak yang tersirat, namun, bukan semua yang tersirat boleh untuk diterjemahkan dengan bahasa biasa. Banyak coretan yang tidak sempat untuk saya nukilkan, tinggal masa dan peluang. Ogos inilah banyak suka-duka yang tertulis sejak azali.
Antara pesanan sahabat pada saya :
Belajarlah dengan kesilapan diri dan kesilapan orang
Belajar dengan teguran, tragedi dan peristiwa
Itulah universiti universal.
Kehidupan bukanlah satu garis lurus,
Bukan jalan yang tiada bersimpang,
Bukan saliran yang tiada bercabang..
Kehidupan itu garisnya bengkang-bengkok,
Penantian di hadapan tak dapat dijenguk,
Tak kuat iman selalu mengamuk,
Lemah jiwa hati remuk..
Kehidupan itu bersimpang-siur dengan jalan,
Setiap satunya ada petunjuk di permulaan,
Buta hati salah pilihan,
Jalan mati tak ikut arahan..
Kehidupan itu lautan luas,
Sentiasa bergelora arus buas,
Pandai berenang takkan lemas,
Takkan sesat bersama kompas..
Apalah upaya dan daya
Melainkan pertolongan-Mu
Tolonglah Tuhan agar nama kami
Diletakkan di barisan hamba-hamba yang mahu diselamatkan
Amin ya Allah! Ya Rabbul 'Alamin!